Monday 24 October 2011

LOGO SEKOLAH

LOGO SEKOLAH


Logo atau lencana sekolah ini dicipta berasaskan gambarajah bulatan yang melambangkan kesepaduan tekad dan azam serta kesefahaman usaha , berlandaskan pepatah “Bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat”. Rekabentuk menyerupai manusia ditengah-tengah lencana membawa maksud pelajar dengan buku terbentang dihadapannya. Gambarajah berbucu lima adalah lambang perguruan dengan motif tenaga pendidik yang mendukung Falsafah Pendidikan Negara  dan sentiasa berusaha ke arah melahirkan pelajar yang sempurna , berketrampilan dan seimbang dari segi emosi , jasmani , rohani dan intelek tanpa mengenepikan  lima rukun Islam sebagai tanda taat kepada Allah.

     Huruf-huruf SMKGS adalah singkatan daripada nama penuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh , Segamat. Pada bahagian tapak lencana ini tertera perkataan  CERGAS  CERDAS  CEMERLANG yang menjadi motto sekolah. Motto ini membawa pengertian setiap insan pelajar wajar mempuyai kecergasan fizikal sihat tubuh badan sebagai langkah awal untuk mempersiapkan diri menghadapi pelajaran . Kesediaan ini akan menentukan pula kecerdasan mental yanag akan lahir daripada tubuh badan yang sihat dan cergas.Kecergasan dan kecerdasan inilah yang merupakan faktor penyumbang untuk menentukan kejayaan dan kecemerlangan seseorang pelajar.

     Berasaskan kesepaduan tekad dan kesepakatan usaha yang dijana oleh kata-kata keramat Cergas , Cerdas dan Cemerlang ini para pelajar dididik dan dibimbing ke arah menjadi manusia unggul dan dapat menggunakan ilmu pengetahuan yang ditimba sewaktu alam persekolahan sebagai perisai yang dapat melindungi diri , keluarga , masyarakat dan negara daripada ditembusi oleh pelbagai gejala buruk yang melanda umat dan dunia sejagat.